Pengendali skuad kebangsaan Korea Selatan, Jürgen Klinsmann hadir ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan saingan AFC Champions League (ACL) antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Ulsan Hyundai baru-baru ini.

Menurut perkongsian pengguna di laman media sosial X, Jurgen dilihat berada di tempat duduk penonton pada perlawanan semalam yang menyaksikan JDT berjaya menewaskan wakil Liga Korea itu dengan keputusan 2-1.

Heberty dan Akhyar Rashid menjadi wira JDT apabila masing-masing pemain menjaringkan satu gol sekaligus memastikan kemenangan berpihak kepada wakil tunggal Malaysia itu dan saingan kumpulan I kembali terbuka.

Kehadiran Klinsmann ini dilihat sebagai langkah awal yang diambil oleh pengendali kelahiran Jerman itu untuk mengkaji corak permainan pasukan negara ekoran rata-rata pemain yang sentiasa dipanggil bagi menyertai skuad kebangsaan dibarisi oleh pemain JDT.

Untuk makluman, Malaysia berada dalam satu kumpulan bersama Korea Selatan dalam temasya Piala Asia 2023 yang akan bermula kurang dua bulan dari sekarang selain pasukan Jordan dan juga Bahrain.

Sebelum ini, beberapa media di Korea menuduh Jurgen Klinsmann kurang memberi perhatian terhadap skuad kebangsaan negara itu dimana beliau tidak tinggal di Korea dan banyak menghabiskan masa di Eropah.

Dalam satu temu bual, Klinsmann menegaskan beliau mempunyai cara tersendiri dan sekiranya tidak suka dengan kaedah yang beliau gunakan, maka FA Korea boleh mencari jurulatih lain.

“Kalau saya selalu tinggal di Korea, perkara itu tidak efisien kerana tiada apa yang boleh dilakukan di Seoul. Lebih baik bertemu orang-orang tertentu di Eropah. Itu caranya untuk meningkatkan bola sepak Korea.

“Kalau anda tidak suka dengan cara yang saya gunakan, silakan cari pengurus lain. Saya tak kisah.

“Saya kuat bekerja, sama seperti orang Korea. Dimana saja saya bekerja, itu semua untuk bola sepak negara ini. Saya boleh katakan saya memberikan sepenuh fokus untuk Piala Asia. Di sini saya nak tegaskan, kalau nak berjaya, maka saya harus pastikan cara yang betul untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.